Sunday, October 31, 2010

ADAT DAN ISTIADAT

Adat & Istiadat Perguruan Pukulan Penchak Silat Pusaka Warisan
Di Dalam Perguruan Pukulan Penchak Silat Pusaka Warisan, Perguruan menitik beratkan kepada Adat dan Adab ketika bergelanggang.
Antara aspek utama yang dapat menjadi kayu pengukur perbezaan antara Perguruan dengan aliran silat Melayu lain dan juga aliran seni beladiri asing ialah dari segi adab, adat dan istiadat yang dipegang. Aspek ini sekiranya dapat dihayati dan disampaikan dengan baik akan dapat menghasilkan insan yang punya sahsiah dan jatidiri yang kental.
Pergerakan Perguruan Pukulan Penchak Silat Pusaka Warisan ini bermula dengan adat istiadat yang membawa maksud peraturan yang mesti diikuti dan dipatuhi.
Istiadat Berguru
Sebelum seseorang menjadi murid secara rasmi, adat yang perlu dijalankan ialah istiadat berguru. Istiadat ini merupakan sabagai akad penerimaan sebagai murid. Ia dijalankan oleh Pemegang Amanah Perguruan yang telah dilantik.
Syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk menjadi ahli perguruan adalah seperti berikut :
•  Berjumpa dan Bertemu dengan Khalifah gelanggang
•  Mendapat persetujuan daripada Khalifah gelanggang
Istiadat Mandi Perlimau (Khatam)
Istiadat ini dijalankan apabila seseorang pesilat sampai ke peringkat Khatam Permainan (Tamat Bersilat). Pada tahap ini pesilat haruslah melalui ketiga-tiga peringkat sehingga dapat bermain apa jua senjata dan dimasa inilah ketika sebelum mandi perlimau ilmu kebatinan tauhid akan diperturunkan.
Antara bahan-bahan asas yang diperlukan untuk menjalankan upacara ini ialah tiga biji limau kasturi dan tiga kuntum bunga. Pisang & Pulut Kuning sebagai hidangan majlis sebagai adat menyambut tetamu.
Individu yang telah menjalani istiadat mandi perlimau dibenar untuk menjadi Gurulatih dan menyandang sebagai khalifah perguruan.
Adat Istiadat Lain
Antara adat istiadat lain di dalam Perguruan adalah:
•  Penyampaian bengkung
•  Penyampaian selendang
•  Penyampaian keris perguruan (Gurulatih)
•  Pertabalan Majlis Pendekar

Adat Menghadap Tapak
Menghadap tapak dilakukan semasa :
•  Penerimaan penabalan
•  Memohon izin bergelanggang
•  Memberi hormat kepada majlis
Cara menghadap bertapak :
Bertapak maju ke hadapan dimulakan dengan kaki kanan dan diakhiri dengan kaki kanan. Kemudian diikuti dengan dengan duduk berlutut. Selepas itu kedua tangan dirapatkan untuk memberi sembah hormat.
Bertapak ketika mengambil kenaikan bengkong atau sandang:
Pada akhir tapak kiraan 3 atau 7, duduk berlutut mestilah dalam keadaan lutut kanan dipacakkan dan lutut kiri ditanamkan ke bumi.

ADAT BUKA & TUTUP GELANGGANG:
Latihan dimulakan dengan adat pembukaan gelanggang dan diakhiri adat penutupan gelanggang. Upacara ini disempurnakan dengan membaca ayat-ayat berikut:
1.   Surah al Fatihah (1x)
Hadiah kepada Rasulullah s.a.w, para sahabat Rasulullah s.a.w, para malaikat, auliya', ulama serta muslimin & muslimat.
2.   Doa (buka) pohon keselamatan sepanjang latihan daripada sebarang bahaya.
Doa (tutup) kesyukuran kerana latihan berjaya ditamatkan dengan baik dari mula hingga akhir dan semoga mendapat keredhaan serta rahmat daripada Allah s.w.t.
Adab Dalam Gelanggang
Antara perkara yang mesti dipatuhi murid semasa berada di dalam gelanggang :
1.   Tidak meludah
2.   Tidak memakai alas kaki.
3.   Tidak bergurau senda
4.   Minta izin dari imam gelanggang jika ingin keluar atau ingin bertemu seseorang di luar gelanggang.
5.   Menghormati rakan-rakan dalam latihan.
6.   Tidak makan.
7.   Tidak Boleh minum tanpa meminta izin dari khalifah gelanggang
8.   Tidak memakai barang-barang kemas dan alat perhiasan diri.
PAKAIAN PERGURUAN:
Pakaian Latihan
Berbaju Silat hitam lengkap berbengkong mengikut tahap dan bertanjak (bertengkolok bagi lelaki)
Bagi persilat perempuan berbaju silat lengkap berbengkong mengikut tahap dan bertudung hitam (Bagi yang muslimah) bagi yang bukan muslim bertanjak atau bertengkolok.
Bagi Gurulatih berbaju silat merah berbengkong kuning dan bertanjak (bagi lelaki dan perempuan yang tak bertudung atau bukan muslim) bagi perempuan muslim bertudung merah)
Taraf Bengkung
Hijau: Dasar (Persilat)
Merah: Pertengahan (Jurulatih)
Kuning: Tinggi (Gurulatih/Khalifah)
Tujuan Sistem Bengkung
1. Dalam memperkemaskan sistem pembelajaran perguruan pukulan penchak silat pusaka warisan, sistem warna bengkung adalah satu cara bagi meninggikan mutu latihan dan peningkatan mutu perguruan pukulan penchak silat pusaka warisan.
2. Satu sistem yang teratur untuk pesilat-pesilat dapat memahami dengan mendalam kaedah-kaedah perguruan pukulan penchak silat pusaka warisan.
3. Dengan sistem ini kualiti dan kuantiti pesilat akan dapat menjamin mutu persilatan perguruan ini bagi masa akan datang.
4. Apabila sistem ini telah dikuasai oleh pesilat-pesilat dalam sistem pembelajarannya, ini sudah tentu secara langsung dan tidak langsung perguruan ini akan memiliki terus pesilat untuk mempelajari pukulan penchak silat pusaka warisan.
5. Perguruan pukulan penchak silat pusaka warisan memandang jauh kehadapan demi kepentingan menangani perubahan-perubahan yang menyentuh kualiti dan produktiviti akan dapat bergerak dengan lebih berkesan dan mantap.
Matlamat Sistem Bengkung
1. Dapat melahirkan ramai pesilat yang mahir dalam ilmu perguruan pukulan penchak silat pusaka warisan.
2. Dapat membantu perguruan ini bergerak dengan lebih aktif.
3. Dapat menjadikan perguruan pukulan penchak silat pusaka warisan ini satu perguruan yang terbesar dan berdaya saing dengan perguruan-perguruan yang lain. 
Pakaian Beradat:
Berbaju Melayu Hitam bersongkok/bertanjak songket bersamping hitam, berkeris perguruan (bagi Gurulatih) dan berselendang perguruan mengikut tahap.
Taraf Selendang Perguruan
Selendang Merah  berjalur Kuning (Ahli Majlis Pendekar)
Selendang Merah  (Gurulatih/ Imam Khalifah)
Selendang Kuning (Jurulatih)

KERIS PERGURUAN
Keris perguruan akan dikurniakan oleh Guru Utama kepada Ahli Majlis Pendekar sahaja. Keris Perguruan berlok 7 ini adalah tanda penghargaan perguruan kepada ahlinya yang setia dengan perguruan.
Ahli Majlis Pendekar inilah tongak perguruan untuk mengembangkan ilmu persilatan  pukulan penchak silat pusaka warisan ini. Mereka ini diberi mandat untuk mengajar kesemua silibus perguruan & memegang adat istiadat perguruan, menjadi khalifah negeri masing-masing mentadbir perguruan negeri dan menjadi khalifah atau pentadbir gelanggang bagi mendidik yang lain ilmu perguruan pukulan penchak silat pusaka warisan.

No comments:

Post a Comment